Khamis, 10 Mac 2016

[BERITA] IMAM SELANGOR TERHARU TERIMA WATIKAH KALI PERTAMA DALAM SEJARAH

Sumber : Selangorku.com
KLANG, 8 MAC: Imam masjid seluruh Selangor terharu apabila kali pertama dalam sejarah dikurniakan Watikah Pelantikan Imam-Imam Masjid Negeri Selangor oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Imam Besar Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya, berkata pengurniaan itu menyebabkan beliau lebih bersemangat mengurus hal ehwal masjid termasuk menyediakan pelbagai aktiviti masyarakat.
“Bila kita diberikan amanah atau watikah, kita perlu melihat ke hadapan untuk meneruskan program masjid lebih sistematik dan terancang terutamanya dalam sistem pengurusan masjid sudut aktiviti dan kewangan serta perkhidmatan.
CP2A4514“Adanya watikah sebegini menjadikan imam kita lebih berkualiti dan di sudut pengiktirafan dan semangat imam mengimarahkan masjid pula, tentunya bertambah,” kata Muhammad Farhan kepada SelangorKini.
Beliau berkata demikian di Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Imam-Imam Masjid Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.
Imam Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Imam Paduka Tuan Mohd Rasid Mahful berkata, watikah pelantikan itu memberi suntikan motivasi kepada beliau sendiri.
“Ini pengiktirafan paling bermakna dan kami menyahut titah Tuanku Sultan Selangor untuk memberi penerangan dan memimpin masyarakat melalui program agama, ceramah, motivasi dan lain-lain untuk memberi kebaikan kepada masyarakat,” kata Mohd Rasid.
Imam Masjid Al-Huda, Paya Jaras, Othman Ab Kadir pula berkata, pihak pengurusan Masjid Al-Huda giat memperkemaskan pelbagai program pengimarahan masjid.
“Program pengajian untuk menyediakan generasi muda khususnya sebagai golongan pelapis dipertingkatkan.
“Antara program diatur, kursus imam dan bilal, kursus mengurus jenazah dan banyak lagi kursus lain yang dah dirancang dan kita kembangkan lagi,” kata Othman.
Selain fokus terhadap aktiviti dalam masjid, pengurusan masjid juga bertanggungjawab mencegah kemungkaran yang terdapat dalam masyarkat.
“Kami juga buat pendedahan dan tanggungjawab mencegah kemungkaran di kalangan anak kariah khususnya. Perkara ini perlu dilaksanakan bagi melahirkan masyarakat bermoral, kuat pegangan agamanya,” kata Othman.